This blog is to share the interesting and beneficial hobbies such as collection of coins, banknotes, stamps, coupons, key chains,fridge magnet

Friday 2 May 2014

Perlu kerjasama buru harta Flor De La Mar

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu bekerjasama dengan Portugal dalam usaha menyelesaikan misteri harta karun di bangkai kapal milik tentera Portugis, Flor De La Mar.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Dr Rahim Thamby Chik berkata, Portugal mempunyai kajian tepat mengenai lokasi harta yang disifatkan dirampas tentera Portugis diketuai Alfonso De Albuquerque dari bumi Melaka.
"Pencarian tentang harta karun harta warisan sejarah Melaka ini perlu diteruskan. Kajian terperinci telah dibuat oleh beberapa pihak terutama daripada Eropah dan beberapa pihak mempunyai maklumat terperinci posisi dan lokasi harta ini.

"Ia berkait dengan sejarah lama dan mempunyai nilai kewangan tinggi, jadi pihak yang ada maklumat ini tidak akan memberi kerjasama untuk usaha pencarian ini kecuali ada satu mekanisme yang sesuai untuk tujuan tersebut,'' katanya.


Dr. Rahim berkata demikian semasa ditemui di pejabatnya di sini.
Flor de la Mar, Frol de la mar, atau Flor do Mar (Si Kuntum Laut) adalah kapal milik Portugis yang boleh menjangkau berat sehingga 400 tan.
Kapal ini telah menyertai pelayaran lebih dari 9 tahun di Lautan India sehingga akhirnya dilaporkan karam pada November 1511 bersama harta rampasan dari Melaka.


Jelas Dr. Rahim, kapal yang dipercayai karam berhampiran lautan Acheh itu mampu diapungkan melalui hasil kerjasama Malaysia, Portugal dan Indonesia.
Dalam pada itu katanya, beberapa perkara tertentu berkenaan undang-undang terhadap isu ini perlu diselesaikan untuk mengelak pertindihan hak ke atas harta kapal itu.


"Kerana itu Kerajaan Indonesia ada hak kepada harta ini tetapi dia hendaklah memberi kesediaan untuk berkongsi tentang penemuan atau potensi penemuan khazanah berkenaan.
"Malaysia juga ada hak dari segi sejarah sebab harta itu adalah harta rakyat Melaka dan daripada perbendaharaan Kesultanan Melayu Melaka, walau hak sejarah ini tidak begitu kuat, kita juga mempunyai kedudukan dalam distribusi perkongsian khazanah ini,'' ujarnya.


Ketika ditanya apa tindakan yang harus dilakukan sekiranya ada pihak yang berjaya mengapungkan Flor De La Mar, ini katanya;
"Ia mempunyai nilai sejarah tinggi untuk dipamerkan mengenai kemajuan Tamadun Melayu Melaka. Jika ketemui kita perlu bina muzium bagi memperingati tamadun Melayu Melaka.''


Sebelum ini, pencari harta karun Amerika, Robert Marx menyifatkan Flor De La Mar ialah kapal kaya raya yang telah hilang di lautan.
Jelas Robert, kapal itu dikatakan menampung 200 tong dipenuhi batu permata berharga, berlian dari saiz kecil setengah inci sehingga sebesar genggam manusia.


Difahamkan, usaha mengapungkan kapal itu memerlukan penggunaan teknologi tertentu dengan menelan kos sehingga RM98.9 juta (AS$30 juta).


Sumber: Astro Awani




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...