This blog is to share the interesting and beneficial hobbies such as collection of coins, banknotes, stamps, coupons, key chains,fridge magnet

Friday, 2 May 2014

Syiling emas pertama di Pulau Nangka


MELAKA: Kerja-kerja pencarian harta karun oleh syarikat Smart Partnership International (M) Sdn Bhd di Pulau Nangka akhirnya membuahkan kejayaan apabila syiling emas pertama ditemui pada pukul 11.15 malam.

Kejayaan terbabit disusuli penemuan syiling emas kedua pada pukul 11.30 malam yang dipercayai milik Kerajaan Majapahit berdasarkan tulisan yang terdapat di syiling berkenaan.

Pengarah Urusan syarikat, Mohammad Foad Khushairy Mohd Said berkata, syiling emas itu ditemui semasa kerja-kerja pengorekan yang dilakukan di salah sebuah lubang yang dipercayai di dalamnya terdapat harta berkenaan.


“Syarikat akan menghubungi PERZIM dan kerajaan negeri untuk memaklumkan hal ini dan memohon untuk meneruskan kerja-kerja penggalian di Pulau Nangka akan dimaklumkan secepat mungkin. Berdasarkan pada imbasan bumi memang ianya terdapat dalam gua tersebut. Insya Allah jika tiada aral melintang
setelah blok batu dikeluarkan serta batuan kecil batu dibersihkan, kita akan dapat masuk ruang kosong tempat menyimpan peti peti harta tersebut,” jelas Mohammad Foad Khushairy.

Katanya, kerja-kerja penebukan siap sepenuhnya malam tadi dan dijangka kerja-kerja mengangkat batu keluar akan dilakukan hari ini bagi membolehkan harta terbabit dibawa keluar.

Mohammad Foad yakin harta itu terdapat di bawah batu terbabit selepas melakukan teknik geoteknikal menggunakan imej imbasan bumi.

Sekurang-kurangnya terdapat lima buah peti besi yang dipercayai mengandungi emas di ruang berkenaan daripada 20 bilik yang terdapat di dalam gua itu.

Katanya, berdasarkan imej imbasan itu, mereka menjangkakan terdapat 96 peti besi yang mengandungi pelbagai syiling emas, emas dan barangan berharga yang dikatakan disembunyikan semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka bagi mengelak diceroboh pihak Portugis terkandung di gua berkenaan.




SEMINAR DISKUSI NUMISMATIK MALAYSIA


Assalamualaikum dan salam Sejahtera....

Untuk sekian kalinya seminar ini dianjurkan oleh Kelab Warisan Numismatik Malaysia.(CA0184074-D). Acara ini akan berlangsung selama dua (2) hari bermula 03 hingga 04 Mei 2014 bertempat di Dewan Seminar Hotel Shahzan Inn, Kuantan, Pahang.
Tajuk program ini berkisarkan perbincangan dan berkongsi pandangan berkenaan hal ehwal semasa numismatik Malaysia. Semua ahli atau bukan ahli Kelab Warisan Numismatik Malaysia serta peminat-peminat hobi numismatik tanahair dijemput hadir. MASUK ADALAH PERCUMA.

Setiap individu yang hadir majlis seminar tersebut akan diberi sijil pengiktirafan penyertaan di penghujung majlis itu.

Ada beberapa cabutan bertuah kepada peserta yang bernasib baik berupa baucer masuk ke Taman Tema Bukit Gambang Resort City, Kuantan (BGRC) juga akan diberi. (Lucky Draw).

Sesiapa yang berminat untuk melelong koleksi Numismatik atau membuat jualan semasa majlis seminar tersebut, boleh menghubungi urusetia KWNM En. Silmon Loo untuk sebarang pertanyaan. (SEGERA)

Berikut adalah aturcara seminar :-

Hotel Shahzan Inn, Kuantan, Pahang.

Sabtu 03/05/14
9am-6pm - Pameran & Jualan
2pm-6pm - Majlis Diskusi / Demonstrasi Metal Detector (MD)

Ahad 04/05/14
9am-2pm - Pameran & Jualan
11am-2pm - Acara Lelongan / Majlis Tamat




Wednesday, 16 April 2014

CIMB bawa pulang 5 wang kertas pertama Malaysia


RAJA Nazrin Shah, Dr. Zeti Akhtar Aziz (dua dari kanan), Nazir Razak (kanan) dan Md. Nor Yusof (kiri) menunjukkan wang kertas pertama Malaysia selepas satu majlis pelancaran di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 16 Julai – Kumpulan CIMB berjaya membawa pulang lima keping wang kertas pertama Malaysia ke negara ini selepas membidanya sehingga 100,000 pound sterling (RM639,000) pada satu majlis lelongan di London pada tahun lalu.
Ringgit pertama yang dicetak pada tahun 1967 itu memiliki tandatangan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tun Ismail Mohamed Ali.
Lima keping wang kertas itu masing-masing bernilai RM1, RM5, RM50, RM100, RM1,000 dan memiliki nombor siri A/1 000001.
Menurut kenyataan CIMB, lelongan khazanah negara itu telah dianjurkan oleh pakar jurulelong profesional, Spink di London pada Oktober lalu.
“Sebaik sahaja mendengar berita mengenai lelongan tersebut, kami bertindak segera untuk menyelamatkan khazanah bernilai itu agar ia tidak jatuh ke tangan orang lain dengan menyertai lelongan yang dikuasai pelabur luar negara menerusi bidaan awalnya sebanyak 30,000 pound sterling (RM191,700),” katanya.
Kejayaan tersebut telah mencatat rekod bidaan untuk Spink daripada aspek wang kertas Asia.
Wang kertas unik tersebut telah diserahkan oleh Pengerusi Kumpulan CIMB, Tan Sri Md. Nor Yusof kepada Gabenor BNM, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dan disaksikan oleh Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah dan Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak selepas majlis pelancaran CIMB-Principal Islamic Asset Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Khazanah bersejarah itu akan dipamerkan di Muzium dan Galeri Seni BNM.

Sumber: Utusan Malaysia, 17/7/2008
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...