This blog is to share the interesting and beneficial hobbies such as collection of coins, banknotes, stamps, coupons, key chains,fridge magnet

Thursday 21 November 2013

Obses Duit Lama

Peminat mata wang lama berkongsi koleksi mereka dengan rakan-rakan

Meskipun segelintir masyarakat menyatakan ia tidak bernilai, namun sebaliknya bagi mereka yang obses terhadap syiling, wang kertas lama, setem mahupun surat pajak gadai mempunyai tanggapan yang berbeza. Malah, minat mendalam terhadap koleksi syiling lama seperti dari zaman Kesultanan Melayu Melaka mahupun Kesultanan Acheh membuatkan golongan ini leka mengumpul beratus koleksi yang disukai.

Peminat mata wang lama sanggup menghabiskan ribuan ringgit, malah adakala mencecah jutaan ringgit semata-mata demi kegilaan ini meskipun ada yang memandang sinis. Sehingga kini, pengumpul koleksi mata wang lama masih wujud dan dilihat kian bertambah berikutan hobi ini dikatakan memberikan kepuasan.

Seminar Sepetang di Alam Numismatik di Hotel Seri Malaysia, baru-baru ini, berlangsung penuh kejutan dan dramatik apabila menyaksikan peminat mata wang lama berhimpun. Lebih menarik, apabila mereka seakan-akan berlawan antara satu sama lain untuk mendapatkan beberapa koleksi mata wang lama yang dilelong dalam seminar itu. Apabila seorang peminat meletakkan harga untuk koleksi mata wang itu, muncul pesaingnya yang turut berminat ke atas koleksi seperti lukisan mata wang lama, syiling edisi khas Komanwel serta tampang.

Dari serendah RM3 hinggalah RM1,000, kelihatan mereka tidak kisah menghabiskan wang untuk itu malah ada yang kelihatan sedih apabila tidak berjaya membida koleksi mata wang diingini.

Simpan koleksi jarang ditemui
Bagi Ahmad Nasyruddin Ismail, dia tidak kisah membelanjakan wang demi minatnya terhadap wang lama apabila menjadi pembida tertinggi dalam lelongan awam itu. Dia membida dua koleksi mata wang lama iaitu tampang Terengganu bersaiz kecil dan sederhana bernilai RM600 dan RM1,000.

Walaupun berhabis wang ringgit demi memiliki koleksi itu, dia kelihatan gembira apabila berpeluang membidanya daripada pesaing lain. Ahmad Nasyruddin yang tinggal di Perda, Pulau Pinang berkata, dia juga menyimpan koleksi mata wang lama unik berbentuk binatang seperti buaya yang jarang-jarang ditemui. Katanya, mata wang lama yang sudah buruk dan terjejas bentuknya, masih bernilai tinggi apabila ia dijadikan hiasan seperti lukisan.

26 kelab peminat wang lama
Presiden Kelab Numismatik Malaysia, Datuk Sharuddin Yusof berkata, kegiatan mengumpul mata wang lama seperti token, syiling mahupun wang lama (numismatik) dalam kalangan penduduk semakin meningkat kebelakangan ini. Menurutnya, penambahan peminat wang lama yang melakukan aktiviti seperti pameran, lelongan dan mengumpul berikutan kebanyakan penduduk mula menyedari kepentingan warisan negara ini untuk generasi masa depan.
"Setakat ini, bilangan ahli tidak rasmi Numismatik Malaysia sudah mencapai angka 52,826 orang bagi 2013 sahaja, malah ia dijangkakan bertambah sebanyak 5 peratus lagi menjadikannya sebanyak 55,467 pada tahun hadapan.

"Persatuan Numismatik Malaysia, Persatuan Numismatik Kesultanan Melayu Malaysia (Masdinar) dan Kelab Warisan Malaysia merupakan antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu ke arah perkembangan bidang ini," katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, 26 kelab di laman sosial facebook seperti Kemaruk Duit Lama, Kedai Hantu Duit, Malaysia Error & Variety, Lot Gila Duit, Wang Nombor Cantik, Kedai Duit Error, Mata wang Kesultanan Johor dan Kelab Pengumpul Duit Lama Antik & Rare sudah diwujudkan.

"Kegiatan mengumpul syiling lama tak kira sama ada kumpulan mata wang kesultanan Melayu Nusantara mahupun lain tidak membazir, ia sebaliknya dilihat mampu menjadi sumber pendapatan sampingan kepada peminatnya," katanya. Sumber: http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/obses-mata-wang-lama-1.222428



1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...