BERAPAKAH jumlah yang anda sanggup bayar untuk memiliki sekeping
wang tinggalan zaman pentadbiran Negeri-Negeri Selat? RM10 atau RM100?
Bagaimana kalau harganya mencecah RM1.2 juta?
Bagi kebanyakan kita, nilai sebegitu tinggi tidak munasabah.
Bagaimanapun, bagi pengumpul
wang lama, kepuasan melengkapkan koleksi lebih diutamakan. Justeru, RM1.2
juta untuk sekeping wang keluaran 1911 yang memiliki nombor siri A000001 sangat
berbaloi.
Minat mengumpul
wang kertas dan duit syiling lama semakin subur di Malaysia berbanding
sekitar 1990an atau 1980an. Disebabkan sudah ramai pengumpul, mendapatkan
koleksi wang juga semakin sukar. Harganya juga meningkat setanding nilai mata wang
semasa.
Bagi pengumpul di Malaysia melengkapkan koleksi wang tempatan,
termasuk Brunei dan Borneo ketika zaman penjajahan Inggeris hingga kini adalah
satu kemestian. Dari situ, mereka akan melebarkan koleksi kepada wang negara
lain, misalnya mata wang Eropah zaman sebelum pengenalan Euro. Tidak kurang
juga yang mengumpul wang negara bermasalah seperti Afghanistan dan Iraq
selain negara miskin seperti Uganda atau Brazil kerana kos untuk memilikinya
sangat murah.
Pengumpul mata wang, Lawrence de Souza, berkata sebelum merdeka,
Malaysia atau Tanah Melayu menggunakan mata wang Dolar dan ia turut digunakan
di British Borneo merangkumi Sabah, Brunei dan Sarawak. Justeru, kata de Souza,
melengkapkan koleksi mata wang dolar bermula 1901 hingga 1967 adalah antara impian
besar pengumpul mata wang.
Pada 1901 hingga 1910, Tanah Melayu menggunakan mata wang dengan
imej Raja Edward Ketujuh. Ia kemudian bertukar kepada dolar dengan gambar
George V (1910-1936), George VI (1936-1952) dan Ratu Elizabeth (1952-1967). “Pada
1967 Malaysia memperkenalkan mata wang dikenali sebagai Siri Parlimen dan ia
kekal hingga 1988. Ketika itu, Malaysia memiliki wang kertas bernilai RM1,000 yang ditulis
sebagai “saribu”,” katanya.
Kata de Souza, nilai sekeping wang saribu yang berkeadaan baik
dan nombor siri menarik boleh mencecah hingga RM50,000. Bagaimanapun, dalam
koleksi wang kertas lama Malaysia, wang dengan nilai saribu itu paling susah
ditemui. Jika adapun, pemiliknya tidak akan menjualkannya kerana nilai
sentimental yang ada pada wang itu.
Sebenarnya, dalam menilai kegilaan mengumpul wang lama, nilai
muka tidak penting. Harga ditawar berdasarkan keadaan atau kualiti duit, tahun
dikeluarkan dan nombor siri duit berkenaan. Wang kertas RM2 yang berkeadaan
baik, misalnya boleh mencecah hingga ratusan ringgit. Apatah lagi jika ia edisi
khas, misalnya 10 keping RM2 yang tidak dipotong. Selain wang era Siri
Parlimen, wang zaman Negeri-Negeri Selat, Negeri-Negeri Bersekutu dan
Negeri-Negeri Tidak Bersekutu juga adalah antara yang popular. Duit syiling dan
syiling peringatan juga mendapat
permintaan tinggi. Duit syiling suku sen yang digunakan di Negeri-Negeri Selat,
misalnya boleh mencecah hingga RM150,000. Selain keunikannya, syiling ini
bersepuh emas. Duit syiling setengah sen dan satu sen keluaran 1891 juga boleh
mencecah nilai sama.
“Ada banyak sebab orang mengumpul wang lama. Mungkin keasyikan
melengkapkan koleksi atau mungkin bermula dengan suka-suka tetapi akhirnya
ketagih,” katanya. Bagi de Souza, dia mula mengumpul wang lama sejak remaja
tetapi minatnya semakin bertambah apabila bertugas di bank komersial. Hari ini
sebagai pesara bank, dia memiliki banyak koleksi wang lama terutama pada era
pemerintahan Inggeris. “Mengumpulkan wang lama pada hari ini tidak lagi seperti
dulu kerana dulu jumlah pengumpul sedikit, manakala wang lama yang ada di
pasaran banyak. Hari ini sebaliknya,” katanya.
Selain membeli di kedai menjual mata wang lama, de Souza
melengkapkan koleksinya dengan menghadiri lelongan wang lama yang dianjurkan
Persatuan Numismatik Malaysia. Ada kala, jika acara lelongan itu tidak
menemukannya dengan mata wang yang dicari, de Souza seperti pengumpul wang lama
akan mencarinya pada acara lelongan mata wang lama di luar negara seperti di
Hong Kong.
Pengumpul mata wang dengan modal besar pula boleh mendapatkan
mata wang yang dikehendaki dengan membelinya melalui ejen mata wang yang
berkhidmat secara bebas. Mereka biasanya warga asing yang mahir dalam selok
belok urusan mata wang.
Walaupun dianggap sebagai hobi yang mahal bagi sesetengah orang,
hobi mengumpul mata wang lama sebenarnya banyak bergantung kepada keadaan
kewangan individu. Ini kerana walaupun ada wang lama yang boleh mencecah nilai
hingga ratusan dan jutaan ringgit, ada juga wang yang boleh dibeli pada harga
RM3 saja.
Lebih istimewa, seni pembuatan wang itu sendiri berbeza walaupun
datang dari negara sama selaras dengan perkembangan budaya dan kemajuan negara
berkenaan. Sesebuah negara, misalnya menukar mata wang yang digunakan lebih
daripada sekali dalam masa 10 tahun. Semua ini dilakukan bagi memantapkan lagi
mekanisme keselamatannya, selain perkembangan semasa yang menuntutnya berbuat
demikian.
Banjir naikkan nilai syiling 10 sen 1971
APA yang membuatkan sekeping wang lama boleh mencecah hingga
ratusan ringgit? Pengumpul dan pekerja kedai menjual mata wang lama, Tan Meng
Fong, berkata antara faktor yang membuatkan wang lama bernilai tinggi ialah
keadaannya yang masih baik, tidak berlipat, jauh sekali terkoyak. “Ada juga
wang lama sedikit terjejas, misalnya berlipat tetapi hanya satu lipatan. Dengan
satu lipatan pun, ia berupaya menurunkan nilainya,” katanya.
Kata Tan, satu lipatan pada wang boleh menjejaskan sehingga 50
peratus nilainya. Justeru, harganya akan terus menurun jika wang itu memiliki
dua atau tiga lipatan. “Pengumpul jarang memilih wang yang dilipat lebih dari
sekali melainkan ia benar-benar sukar diperoleh. Namun, harganya tidak semahal
harga wang sama tetapi masih elok,” katanya.
Selain kualiti, wang yang dihasilkan dalam jumlah yang terhad
juga melonjakkan harga. Misalnya, duit syiling keluaran 1971 memiliki nilai
tinggi di kalangan pengumpul kerana ditempa di Jerman Barat. Duit syiling itu
adalah duit syiling Malaysia yang terakhir ditempa di luar negara. Pada tahun
sama, sebahagian duit syiling ditempa di kilang wang Bank Negara Malaysia di
Shah Alam.
Bagaimanapun, penempaannya terhad kepada syiling 10 sen saja. Banjir besar yang melanda Selangor dan Kuala
Lumpur menjejaskan operasi penempaan apabila limpahan banjir masuk ke dalam
mesin pencetak. Kejadian itu menyebabkan hanya 32,000 keping sempat ditempa.
Jumlah yang sedikit melonjakkan permintaannya. Kata Tan, sekeping duit syiling
10 sen yang dikeluarkan pada 1971 boleh mencecah harga RM2,500.
“Syiling peringatan juga memiliki peminat tersendiri. Lebih
ramai peminat, lebih tinggi nilainya. Wang syiling peringatan RM5 boleh
bernilai RM1,800,” katanya. Faktor sukar diperoleh juga meningkatkan nilai wang
berkenaan. Bagi wang kertas Malaysia atau Tanah Melayu dan Negeri-Negeri Selat,
keluaran terhad menyumbang kepada nilainya.
Adakala edisi wang terhad disebabkan perkhidmatan Gabenor Bank
Negara yang singkat melonjakkan harga wang lama. Misalnya, untuk 1981 hingga
1984, Bank Negara Malaysia diterajui Tan Sri Aziz Taha. Dalam tempoh tiga tahun
menjadi Gabenor Bank Negara, Aziz menandatangani dua siri wang kertas Malaysia
(siri 4 dan siri 5). Faktor ini menjadikan nilai wang kertas pada era Aziz
sangat mahal.
Apatah lagi jika wang itu memiliki nombor siri berturutan atau
berlaku kesilapan pencetakan pada permukaannya. Wang dengan nombor siri yang
tersusun cantik juga sangat mahal. Untuk sekeping wang kertas RM50 era Gabenor
Bank Negara, Tan Sri Ahmad Don misalnya, ia boleh mencecah hingga RM1,000.
Wang dengan nombor siri bersusun, tiga, lapan dan sembilan
mencecah RM1,000 sekeping, manakala wang dengan nombor siri BB888888 boleh
mencecah 10,000. Namun, urutan siri nombor empat tidak popular di kalangan
pengumpul bangsa Cina. Ia hanya dibeli pengumpul Melayu atau India. Nilainya pula
berlegar sekitar RM400 saja.
Nilai wang lama juga dipengaruhi oleh nilai mata wang semasa
negara berkenaan. Sebagai contoh, wang kertas lama negara seperti Britain dan
New Zealand serta wang negara Eropah sangat tinggi nilainya berbanding wang kertas
dari Iraq atau Afghanistan. Satu set wang Jerman sebelum pengenalan Euro boleh
mencecah hingga RM12,000, manakala wang kertas era Saddam Hussein atau wang
kertas era Taliban boleh dibeli pada harga RM3 saja. Termasuk dalam kategori
wang murah ini ialah wang kertas Kemboja keluaran 1972, wang Brazil keluaran
1980 dan mata wang Guyana dari 1966-1992. Sumber: bharian.com.my, 22/11/2009
sama macam hobi mak sy hehe
ReplyDeleteiye ke...baguuss tu..hobi ni byk mendatangkan keuntungan,keunikan dan kepuasan....
Deleteyup, banyak kelebihan kumpul barang-barang yang kita suka. Masa ni tak nampak unik tapi bila masa dah berlalu barang yang kita kumpul tu nampak unik semacam je. hehe... kita ada, tapi orang lain tiada.
ReplyDeleteassalamualaikum..terima kasih atas perkongsiannya..sangat bermanfaat...AHK juga mengumpul demi kepuasan yang tak diketahui oleh non-collector..huhuhu
ReplyDelete