This blog is to share the interesting and beneficial hobbies such as collection of coins, banknotes, stamps, coupons, key chains,fridge magnet

Wednesday 4 September 2013

Kumpul wang lama bernilai RM400,675

SHARUDDIN Yusof menunjukkan koleksi kesayangannya, Pohon Pitih Terengganu dari zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah bernilai RM15,000 di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, Kuala Krau, baru-baru ini.


KUALA KRAU 4 Julai - Minat mendalam seorang usahawan, Datuk Sharuddin Yusof, 54, dari Bandar Tun Abdul Razak, Jengka di sini mengumpul duit lama dari seluruh dunia ternyata membuahkan hasil lumayan. Ini apabila nilai keseluruhan koleksi mata wang lama pelbagai negara beliau yang dikenali 'Sha Banknote' kini mencecah RM400,675.

Koleksi milik Sharuddin ini terdiri daripada mata wang Malaysia bermula tahun 1971 hingga 2011 yang kini bernilai RM100,656, duit syiling Malaysia (RM24,030), Banknote Strait Settlement (RM84,000), mata wang Very Rare (RM154,611), mata wang Errow RM22 dan mata wang luar negara bernilai RM15,000.

Sharuddin anak kelahiran Kampung Bukit Nikmat, Jerantut mula menyimpan duit syiling dan wang kertas pada tahun 1973. Menurutnya, minat itu bercambah berikutan bapanya membuka kedai runcit dan turut berurus niaga getah dengan orang kampung. Dari situ ujarnya, mana-mana duit syiling dan wang kertas yang baru dan menarik akan disimpan di tempat khas.

''Pada masa sama, saya juga menyimpan duit pada zaman pemerintahan Inggeris dan Jepun tahun 1950-an. Hobi yang unik seperti ini datang secara sendiri dan sangat menguntungkan, malah memberi kepuasan kepada diri yang sanggup menyimpan duit lama," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah beliau, nilai duit lama mempunyai harga yang lebih tinggi daripada nilai muka yang tertulis. Ia boleh dikenal pasti menerusi buku rujukan wang. ''Ini boleh dijadikan rujukan semasa membeli ataupun menjual duit lama. Contoh duit UNC dan Rare berwarna emas, harganya boleh mencecah RM500," katanya.

Menurutnya, mata wang lama dalam koleksinya ialah wang Straits Settlements 1931-1935 yang bernilai antara RM250 sehingga RM12,000. Sebagai contoh kata Sharuddin, wang kertas Ten Dollars Straits Settements yang dikeluarkan tahun 1935 bernilai RM5,800 sekeping dan nilai tertinggi ialah wang Fifty Dollars Queen Malaya British tahun 1953 bernilai RM12,000 sekeping. Tambahnya, mata wang Five Dollars Straits Settlements tahun 1935 siri Rex Curral bernilai RM5,500 sekeping manakala Ten Cents Sarawak tahun 1940 siri CV Brooke bernilai RM1,500.

''Jenis mata wang Ten Dollars King Malaya British tahun 1940 siri H. Weisberg pula bernilai RM6,000 dan 50 Dollars King Malaya British bernilai RM8,000," ujarnya. Menurut beliau, koleksi kesayangan lain ialah duit Proof RM1 yang ditandatangan Gabenor Bank Negara kedua, Tun Ismail Mohamed Ali keluaran tahun 1976 siri tiga bernilai RM8,000 manakala duit contoh RM1 tandatangan Gabenor Bank Negara ketujuh, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz tahun 2000 siri 11 bernilai RM8,800.

''Duit contoh atau specimen RM5 tandatangan Gabenor Bank Negara keempat, Tan Sri Jaffar Hussein siri lapan bernilai RM9,800 di pasaran yang mendapat permintaan tinggi peminat mata wang lama," katanya. Sharuddin mengakui antara koleksi kesayangan ialah Pohon Pitih Terengganu zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah bernilai RM15,000. Menurutnya, ramai yang tidak peka bahawa duit 10 sen keluaran 1971 kini bernilai RM500 sekeping.

Tambah beliau, koleksi lain ialah wang RM2 Gabenor Bank Negara keenam, Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman tahun 1999 bernilai RM2,500, RM1 Ismail bernilai RM2,650 dan RM5 keluaran tahun 1995 bernilai RM3,456. ''Banyak lagi koleksi mata wang lama ini dalam simpanan saya dan ia akan dipamerkan secara terhad kepada penggemar bagi tujuan berkongsi minat, jualan dan belian duit lama," katanya.

Tambah beliau, hobi mengumpul koleksi mata wang ini tidak dikongsi ramai tetapi usaha menyuburkan minat seperti ini perlu dilakukan. Katanya, hobi menyimpan duit lama ini sangat baik kerana dalam jangka panjang ia akan bernilai lebih tinggi lagi berdasarkan keistimewaan duit berkenaan. Sumber: Salehudin Mat Rasad, utusanpahang@utusan.com.my,5/7/2012

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...