This blog is to share the interesting and beneficial hobbies such as collection of coins, banknotes, stamps, coupons, key chains,fridge magnet

Saturday, 30 November 2013

Taman Mini Malaysia & Mini Asean, Ayer Keroh, Melaka



Taman kebudayaan Taman Mini Asean terletak beberapa kilometer dengan bandar Ayer Keroh, Melaka. Taman Mini Malaysia dan Mini Asean ini dirasmikan oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Seri Dr. Mahathir Bin Mohamad pada 17 Julai 1986. Taman kebudayaan ini menampilkan replika menarik pelbagai jenis rumah traditional daripada 13 buah negeri di Malaysia. Setiap  rumah mewakili gaya senibina 13 buah negeri di Malaysia yang dilengkapi dengan pelbagai barangan hiasan, seni serta kraftangan yang menggambarkan budaya bagi setiap negeri.


 Rumah Perlis

Di perlis terdapat rumah tradisional melayu yang dikenali sebagai rumah panjang  berusia lebih 70 tahun. Rumah jenis ini semakin pupus. Rumah bumbung panjang ini mengandungi banyak tiang, adakalanya berjumlah 24 batang tiang pada rumah ibunya. Bentuk rumahnya memanjang, bumbung panjang lurus mendatar, dihadapannya dipasang tebar layar yang berbentuk V terbalik.

Tebar layar merupakan sebahagian daripada tutup dinding bumbungnya yang diperbuat dari pelupuh yang berkelarai. Rumah panjang Perlis diperbuat daripada kayu cengal dan damar laut, dindingnya daripada kelarai, atapnya daripada rumbia atau nipah dan adakalanya menggunakan genting senggora.

Komponen bangunan rumah berkenaan terdiri dari rumah ibu dan rumah dapur. Rumah ibu mengandungi ruang yang disebut ruang leper (serambi), bilik, ruang tengah dan ruang tamu. Manakala rumah dapur terdiri daripada ruangan yang tidak tersekat tetapi telah di pisahkan oleh ruang yang dipanggil ruang selang. Sumber: http://azidahali.blogspot.com


 Rumah Pulau Pinang 

Di Pulau Pinang terdapat beberapa jenis rumah traditional Melayu yang berlainan bentuk iaitu rumah bumbung panjang, rumah serambi dan rumah serambi gajah menyusu. Namun rumah-rumah jenis ini kian pupus ditelan masa. Rumah serambi gajah menyusu dapat dikenali dengan bentuk bumbungnya dimana bumbung ibu kelihatan lebih tinggi dari bumbung serambi. Bumbungnya kelihatan seperti seekor gajah sedang menyusukan anaknya.

Rumah jenis ini menggunakan bumbung panjang jenis mendatar dan dimuka tepi dindingnya dipasang dinding tegak yang dipanggil tebar layar. Manakala komponen bangunannya terdiri dari rumah ibu dan dapur. Biasanya rumah traditional Pulau pinang ini dibina daripada kayu yang bermutu tinggi seperti cengal dan meranti. Sementara atapnya dari rumbia.

 Rumah Kedah

Di Kedah rumah panjang Kedah hampir sama bentuknya dengan rumah panjang Perlis kecuali sekadar perbezaan pada susunan ruangnya sahaja. Rumah panjang Kedah berbentuk memanjang, bumbungnya panjang lurus mendatar menggunakan tabir layar yang diperbuat dari pelupuh berbentuk tiga segi atau huruf ’v’ terbalik. Bumbung dapurnya rendah sedikit dari bumbung ibu seakan-akan kelihatan seperti bumbung rumah gajah menyusu yang terdapat di Pulau Pinang.  


Rumah panjang Kedah terdiri dari beberapa ruang iaitu ruang leper dan ruang rumah tangga terletak dihadapan, manakala ruang tengah, serambi, sama naik, bilik dan ruang dapur terletak dibahagian belakang. Rumah ini mempunyai banyak tiang dan biasanya lebih daripada 20 batang tiang pada rumah ibunya. Bahan-bahan binaan rumah ialah Cengal, Meranti, Damar laut, dan buluh manakala atapnya diperbuat dari Rumbia, Nipah dan genting SenggoraSumber: http://kakisejarah.blogspot.com/2012/10/jenis-rumah-tradisional.html


Rumah Perak

Di Perak, rumah tradisional Melayu memiliki persamaan senibina seperti rumah tradisional Melayu yang lain di Semenanjung Barat Malaysia tetapi ia berbeza sedikit pada senibina bumbungnya. Rumah tradisional Melayu Perak sering dihiasi dengan senibina bumbung yang panjang dan dikenali sebagai 'bumbung Perak'. Selain itu, binaan Melayu Perak yang menarik dapat dilihat ialah pada anjung yang diukir dengan pelbagai motif. Sumber: http://ieshamww2.blogspot.com

Rumah Kutai merupakan rumah tradisional Melayu di Perak, Malaysia. Rumah ini banyak terdapat berhampiran dengan tebing sungai Perak iaitu di Daerah Tengah, Hilir Perak dan Kuala Kangsar.

Rumah Kutai ialah rumah berbumbung panjang. Di sudut dinding tepinya dipasang tabir layar yang dibuat dari pelupuh yang berkelarai manakala di bawah kaki tebar layar terdapat pula alang para buang (peran) iaitu merupakan ruang yang beratap dan berlantai sebagai tempat menyimpan barang-barang.

Rumah Kutai mengandungi 12 ataupun 16 tiang pada rumah ibunya. Rumah ibu pula terdiri dari ruang serambi, ruang tamu dan bilik. Di sebelah belakangnya ialah rumah dapur yang di pisahkan oleh ruang dapur yang di pisahkan oleh ruang selang yang tidak beratap. Bahan-bahan binaan ialah dari kayu dan buluh. Kayu digunakan untuk tiang dan rangka bumbung manakala dindingnya dari pelupuh dan atapnya ialah atap rumbia. Terdapat juga rumah Kutai yang tidak memiliki dinding pembahagi bilik, sebaliknya menggunakan kain langsir sebagai pembahagi ruang bilik. Sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Rumah_Kutai

Rumah Selangor

Rumah tradisional melayu Selangor yang asli mempunyai 3 komponen iaitu rumah ibu, rumah tengah dan rumah dapur. Rumah ibu mempunyai ruang serambi beranda, anjung dan bilik. Rumah tengah terdiri ruang rumah tangga, bilik dan ruang tengah (laluan) yang bersambung antara rumah ibu dan dapur. Rumah dapur di sebelah belakang merupakan tempat memasak. Rumah jenis ini juga dikenali sebagai Rumah Bumbung Panjang kerana bumbungnya menggunakan sebuah perabung panjang lurus mendatar dan pada tepi dinding yang tegak dipasang dinding tabir layar yang berlapis dua .

Rumah tradisional melayu Selangor mempunyai rumah ibu terdiri 12 batang tiang utama iaitu 6 tiang dan 6 tiang serambi sama naik. Kayu-kayu yang digunakan ialah Cengal, Giam, Damar laut, Meranti, Kapur, Kempas manakala atapnya dari Rumbia dan Nipah. Sumber: http://azidahali.blogspot.com

 Rumah Melaka

Rumah tradisional Melayu Melaka pada kebiasaanya berteraskan bumbung atap yang panjang dan sesuatu yang menjadi tanda pengenalan bagi rumah Melayu Melaka adalah mempunyai tangga batu yang istimewa yang unik berbanding dengan rumah tradisional orang Melayu di negeri-negeri lain.

Keunikan tangga batu ini diperindahkan lagi dengan jubin pelbagai corak disamping ukiran-ukiran kayu pada tiang, pintu, tingkap dan papan gendeng. Keserian rumah tradisional Melayu Melaka ini ditambah lagi dengan lanskap laman yang biasanya dihiasi dengan pokok-pokok bunga khususnya bunga kertas yang diletak dalam pasu beralaskan batu bata dan disusun disekitar bahagian hadapan rumah.

Rumah tradisional orang Melayu Melaka ini jelas menunjukkan ketinggian kreativiti dan keprihatinan terhadap unsur alam sekitar telah diabadikan ke atas tempat kediaman, begitulah indah dan seninya orang-orang Melaka. Sumber: http://rumahwarisanmelaka.blogspot.com/

 Rumah Limas Johor

Rumah traditional melayu johor juga dikenali sebagai rumah limas johor. Nilai seni binanya sangat cantik dengan corak ukiran kerawang. dihasilkan tanpa menggunakan paku, hanya berdasarkan kepada tanggam semata-mata.


Rumah limas traditional dibina berdasarkan pada cuaca iklim tropika di Tanah Melayu, nilai-nilai astetika yang terdapat dalam setiap binaan di pengaruhi senibina islam seperti corak flora dan geometri. Selain itu, rumah limas juga banyak dipengarui elemen-elemen luar seperti dari british, belanda, dan juga unsur-unsur rumah Indonesia.

 Rumah Kelantan

Di Negeri Kelantan terdapat 2 jenis rumah tradisional Melayu dikenali sebagai Rumah Bujang dan Rumah Tiang 12. Rumah jenis ini mengandungi 12 tiang utama pada rumah ibu, 6 tiang serambi dan 6 tiang panjang. Bumbungnya panjang di mana pada tepi sudut dindingnya dipasang dengan tabir layar. Pada pinggir tabir layarnya terdapat papan pemeleh atau tumpu kasau iaitu sepasang pemeleh ibu dan sepasang pemeleh serambi.


Rumah Tiang 12 yang asli terdapat 3 unit bangunan iaitu bangunan rumah ibu yang mengandungi ruang selasar, rumah tengah dan rumah dapur. Bangunan rumah tengah dan rumah dapur berbilik atau bersekat.



Rumah Terengganu

Di negeri Terengganu terdapat beberapa bentuk rumah tradisional melayu dan salah satunya dipanggil rumah limas bungkus. Struktur rumah ini dikenali berdasarkan bumbung rumahnya yang terdiri daripada sebuah perabung lurus dan bersambung pula dengan 4 buah perabung yang turun ke cucuran atap yang dihiasi dengan ukiran-ukiran kerawang kayu. Rumah jenis ini mempunyai beberapa bentuk daripada bentuk panjang dan bersegi empat tepat. Ruangnya pula terdiri daripada ruang anjung, beranda, rumah tengah dan dapur. Rumah Terengganu dibina daripada kayu cengal, meranti dan kapur. Manakala atapnya daripada atap tanah dan atap genting senggora. Sumber: http://nakkemanetuwey.blogspot.com/

 Rumah Pahang

Rumah Tradisional Melayu Pahang dikenali sebagai rumah serambi Pahang. Rumah jenis ini biasanya berbumbung panjang manakala ditepi dinding dipasang tabir layar dan terdapat ukiran dipinggirnya. Pembahagian ruang rumah ini terdiri daripada ibu dan dapur yang dipisahkan dengan ruang yang dipanggil selang. Ia juga mengandungi ruang-ruang tertentu di bahagian hadapan sekali iaitu ruang serambi diikuti oleh ruang ibu yang mengandungi ruang pentas dan perbalai. Di belakang pula ruang kelek anak atau serambi belakang. Bagi ruang dapur ia mengandungi ruang pelantar yang digunakan untuk memasak dan membasuh.

Rumah Sabah

Suku kaum Rungus tinggal di rumah panjang yang disebut sebagai vinatang dalam bahasa Rungus. Vinatang ini adalah satu kebanggaan bagi suku kaum rungus kerana ia menggambarkan ciri-ciri unik yang ada pada bangsa mereka. Lazimnya rumah panjang ini berukuran 300 kaki panjang yang dibina atas bukit dan dinaikkan. Ruang bawah rumah panjang ini digunakan untuk memelihara binatang seperti ayam, babi dan kerbau selain berfungsi sebagai tugu kepada serangan luar. Sumber:  http://www.sabah.edu.my

Rumah Sarawak

Rumah tradisional negeri Sarawak dikenali sebagai rumah panjang. Rumah panjang merupakan tradisi kaum Iban yang terdiri daripada satu deret berpuluh-puluh rumah kelamin. Rumah ini mempunyai ciri dan keistimewaan tersendiri mahupun dari segi keselamatan dan kebudayaan. Senibina rumah ini berpegang teguh dengan adat tradisi tempatan suku kaum masing-masing yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana masyarakat luar. 

Rumah ini menggunakan tiang jenis kayu keras dan tidak mudah reput seperti kayu belian yang mudah didapati di Kepulauan Borneo. Bumbungnya dari daun rumbia seperti biru, pantu, mulong dan jenis daun tebal. Sementara dinding rumah  diperbuat daripada kulit kayu seperti terentang atau buluh yang dikelar atau dibelah. Lantainya pula menggunakan buluh, papan, atau kulit kayu. Tangga rumah diperbuat daripada sebatang kayu bulat yang ditakik dengan beliong dan dipanggil tangga takik. Rumah panjang mempunyai 3 ruang iaitu tanju (serambi atau beranda terbuka), ruai (ruang terbuka) dan bilik. Bahagian di atas bilik dan ruai dipanggil sadau (peran) sebagai tempat tidur anak dara disamping tempat menyimpan bijian dan perkakas. Sumber: http://elya-iz.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...