This blog is to share the interesting and beneficial hobbies such as collection of coins, banknotes, stamps, coupons, key chains,fridge magnet

Saturday 11 January 2014

Muzium Nelayan, Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor


Muzium Nelayan terletak di persisiran pantai Tanjung Balau, daerah Kota Tinggi, Johor iaitu di utara Desaru. Tanjung Balau terletak kira-kira 98 km dari bandar Johor Bahru jika melalui jalan Persekutuan dan 70 km jika melalui Lebuhraya Senai-Desaru. Ia dibangunkan oleh Lembaga Pembangunan Johor Selatan (KEJORA) yang merupakan sebahagian daripada projek pembangunan di perkampungan nelayan Tanjung Balau. Tanjung Balau menghadap Laut China Selatan ini juga mempunyai pantai yang indah dan cantik sesuai untuk mandi manda serta berkelah. Muzium Nelayan ini dibina pada 20 Ogos 1992 di atas tanah seluas 9.7 hektar dengan menelan kos sebanyak RM 1.5 juta. Pada tahun 1993 muzium ini mula dibuka kepada orang ramai. Sumber: http://www.utusan.com.my

Sejak dahulu hingga kini sumber ekonomi penduduk di Tanjung Balau adalah menangkap ikan. Di Muzium ini dipamerkan pelbagai artifak sejarah nelayan di rantau ini seperti sampan, pukat, bubu, jaring dan pelbagai peralatan menangkap ikan. Ia juga turut memaparkan gambar-gambar dan lukisan mengenai suasana kampung nelayan serta kehidupan masyarakatnya yang begitu akrab dan saling bantu membantu diantara satu sama lain.

Upacara amal serta pantang larang ketika menangkap ikan


Lampu pelita


Bubu

Bubu merupakan sejenis alat menangkap ikan dan termasuk dalam kumpulan perangkap. Terdapat beberapa jenis bubu antaranya ialah bubu batang, bubu daun, bubu janbul dan bubu sadah. Secara amnya, sebuah bubu dibentuk daripada tapak berbentuk empat segi bujur yang diperbuat daripada rotan atau buluh mengikut rupa bentuk tertentu. Seluruh tapak dan rangka ini diliputi dengan kawat mata punai. Di bahagian depannya terdapat satu pintu masuk yang dipanggil injap yang berbentuk seperti leher kuda. Fungsinya adalah untuk memerangkap hasil tangkapan dengan membenarkan ikan masuk tetapi menghalangnya daripada keluar, manakala satu lagi pintu yang boleh dibuka dan ditutup, berada di bahagian tapak untuk mengeluarkan hasil tangkapan. Antara hasil tangkapan ikan yang biasa diperolehi ialah ikan sepat, keli, haruan, puyu dan ikan air tawar yang lain yang amat digemari oleh masyarakat desa.



Serkap

Ianya merupakan sejenis alat penangkapan ikan Melayu traditional yang terdapat dalam pelbagai jenis. Antaranya ialah "serkap Perlis","serkap Banjar" dan "serkap Kedah". 


Serkap lazimnya diperbuat daripada buluh, rotan, akar atau bemban. Serkap diperbuat daripada buluh yang diraut halus. Buluh yang biasa digunakan ialah buluh duri dan buluh tela. Manakala akar yang digunakan adalah akar pukang dan rotan biasa. Kemudian buluh tersebut akan disusun di atas kerangka yang berbentuk bulat. Kerangka itu pula diperbuat daripada buluh yang dililit menggunakan rautan rotan. Ia berbentuk seperti kelongsong dan terbuka hujungnya. Penangkap ikan akan berjalan sambil menyerkap secara rawak ke dalam air atau lumpur kemudian menggagau ke dalam serkap tersebut. Serkap biasanya digunakan untuk menangkap ikan haruan, keli dan puyu terutamanya di dalam kubang air di sawah pada musim kemarau. Serkap juga boleh digunakan bagi menangkap dan mengurung ayam.

"Serkap" juga dijadikan model oleh orang-orang tua terdahulu untuk menyalur atau melahirkan pemikiran. Pada lahirnya "serkap" merupakan penangkap rezeki menjadi luas maknanya  dalam masyarakat melayu traditional sehingga ia dijadikan perumpaan sebagai sindiran atau nasihat. Antara rangkap pantun yang dipusakakan oleh nenek moyang kita berkait dengan serkap adalah:-


"Serkap" ikan ditengah bendang,
Dapat keli bisa sengatnya,
Cakap tuan biarlah terang,
Tidak kami terpinga-pinga

Sungguh rendang pokok kuini,
Langsai buahnya dilahap orang,
Menuduh orang tiada bukti,
Bagai mengguna "serkap jarang"

Langsai buahnya dilahap orang,
Biji ditabur merata tempat,
Bagai mengguna "serkap jarang",
Peluh mengucur laba tak dapat.

Serkap kini telah dimajukan serta dijadikan sebagai bahan hiasan karaftangan dalam saiz yang kecil. Sumber: http://www.memori-kedah.com


Sauk

Sauk digunakan untuk menangkap ikan, memungut siput, remis di sungai-sungai. Rekabentuk sauk adalah kelihatan seperti satu penceduk atau timba bujur dengan ukuran sekitar 36cm x 15cm x 15cm. Sauk ini mempunyai pemegang yang diperbuat daripada kayu bersaiz sederhana mengikut keselesaan dan keperluan tersendiri. Bahagian sauk yang berbentuk penceduk itu diliputi dengan jaringan berlubang kecil bagi membenarkan air keluar dan meninggalkan hasil yang disauk di dalamnya. Ikan yang biasa ditangkap dengan menggunakan sauk adalah seperti kalui dan belida.



Jenis-jenis ikan di lautan turut dipamerkan


Peralatan memancing 


Diorama suasana perkampungan nelayan


Jong


Perahu Burung Petalawati

Replika Perahu Burung Petalawati ini berasal dari negeri Kelantan. Ia diberi nama berdasarkan rekabentuk bahagian hadapan perahu yang berbentuk kepala Burung Petalawati. Pada zaman dahulu setiap kali perayaan kelahiran Sultan, Baginda akan diarak di dalam perahu Burung Petalawati ini. Namun kini upacara itu tidak lagi diamalkan kerana mengandungi unsur-unsur khurafat. Replika perahu ini dipamerkan bagi menunjukkan kemahiran seni ukiran halus yang diukir di bahagian kepala perahu dan ekornya.


Perahu Payang yang diberi nama Melati Putih

Perahu Payang merupakan perahu terbesar digunakan di Terengganu untuk menangkap ikan. Operasi memukatnya adalah di kawasan laut dalam menggunakan pukat payang dengan awak-awak seramai kira-kira 15 orang.
Perahu ini dikenali sebagai perahu payang berdasarkan operasi memukatnya yang kebiasaan menggunakan pukat payang. Perahu ini berukuran 14.2m panjang, 2.27m lebar, 3.1m tinggi dan menggunakan dua layar.
Pada kebiasaannya perahu payang akan dihias dengan lukisan awan larat yang indah. Sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Perahu_payang

1 comment:

  1. Terima kasih kerana sudi datang ke muzium nelayan tanjung balau.

    Muhammed Iqbal Rosli
    Pen. Kuarator,
    Muzium Nelayan Tg Balau

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...