This blog is to share the interesting and beneficial hobbies such as collection of coins, banknotes, stamps, coupons, key chains,fridge magnet

Friday 30 August 2013

Bendera Malaysia -Jalur Gemilang

Assalamualaikum...

Entri kali ini bukan nak bercerita pasal duit..tapi NH nak berkongsi mengenai Bendera Malaysia. Pernah kah anda tahu siapakah pencipta bendera Malaysia yang sentiasa berkibar megah diruang angkasa raya?. Sempena menyambut Hari Kemerdekaan negara kita yang ke 56,mari kita menyelusuri sejarah bendera Malaysia serta simbol disebaliknya.

Pencipta bendera Malaysia adalah Allahyarham Mohamed Hamzah yang kini dikenali sebagai "Jalur Gemilang".


Bendera Malaysia dicipta pada tahun 1947 dan pada tanggal 31 Ogos 1957 buat pertama kalinya bendera ini dinaikkan. Allahyarham Mohamed bin Hamzah berasal dari Johor Bahru dan bertugas sebagai kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor, Beliau menamatkan persekolahan di English College (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan amat berbakat dalam bidang seni lukis. Pada tahun 1947, beliau menyertai pertandingan merekacipta bendera Persekutuan Tanah Melayu  yang diadakan oleh pemerintah pada masa itu. Ketika itu beliau berusia 29 tahun. Beliau meninggal dunia pada 19 Februari 1993, kira-kira 14 hari sebelum usianya 75 tahun di rumah keluarga beliau di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee. Walaupun beliau sudah tiada lagi, namun jasanya tetap dikenang hingga akhir zaman.


Bendera Malaysia mengandungi 14 jalur merah dan putih (melintang) yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah, tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri yang terdiri daripada negeri Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor, Terengganu dan Kerajaan Persekutuan.

Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur merah yang kelima itu maknanya perpaduan rakyat Malaysia. Bahagian biru tua itu mengandungi anak bulan tanda Agama Islam iaitu agama rasmi Malaysia. Bintang pecah 14 itu tanda perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan. Warna kuning pada anak bulan dan bintang itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.


Semasa sambutan kemerdekaan ke 40, pada 31 Ogos 1997 Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah memilih nama Jalur Gemilang bagi bendera Malaysia. Nama "Jalur Gemilang itu membawa maksud:-

JALUR
  • Melambangkan imej,citra negara dan rakyat yang bersemangat patriotik,gigih,gagah dan berani menghadapi cabaran serta sanggup berkorban demi bangsa, agama dan negara tercinta.
  • Menggambarkan Bendera Malaysia mempunyai 14 jalur merah dan putih.
  • Satu laluan, hala tuju dan arah yang sama oleh rakyat Malaysia dalam menuju kegemilangan serta perpaduan bangsa dan negara.
GEMILANG
  • Bercahaya, cemerlang dan  terang benderang.
  • Kecemerlangan negara serta  rakyat Malaysia dalam mengharungi kehidupan samada didalam negeri mahupun di luar negara.
  • Kegigihan, kesungguhan serta kesanggupan rakyat Malaysia menaikkan imej negara sentiasa mendapat petunjuk dan pedoman.
Syukur padamu Ya Allah atas nikmat keamanan, kesejahteraan dan kedamaian di Bumi Bertuah Malaysiaku Berdaulat, Tanah Tumpahnya Darahku....SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YANG KE 56...MERDEKA!MERDEKA!MERDEKA!...

4 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...